Tuesday, July 24, 2007

selamat pagi cikgu!

aku terkenang zaman bersekolah dulu-dulu:
* membawa pucuk paku, pucuk ubi kayu ke sekolah untuk diberi kepada cikgu.
* memadam papan hitam, membersih meja cikgu, mengutip sampah sekitar sekolah.
* sambut cikgu di kereta, tolong cikgu bawa buku, belikan sarapan cikgu di kantin.
* kelilingi cikgu di bawah pokok manggis, mendengar cikgu bercerita, bernasihat teladan.

aku terkenang zaman bersekolah dulu-dulu:
* jerkah cikgu menggigilkan seluruh kelas, diketuk pembaris dahi berbekas.
* didera berlari keliling padang, berdiri atas bangku, telinga terkoyak berdarah dipulas.
* cikgu berbasikal masuk kampung menziarahi anak muridnya yang sakit pening.
* cikgu ziarahi rumah ke rumah jika ada anak muridnya berhari-hari tidak ke sekolah.

aku terkenang zaman bersekolah hari ini:
* sekali anak dicuit, emak bapak datuk bapak satu kapal menggigil sakit otak!

Saturday, July 21, 2007

bahasa malaysia?

`gunakanlah bahasa kebangsaan kita
marilah amalkan ramai-ramai.....'
sejak sekolah rendah aku telah diajar, aku telah diajar
bahawa bahasa melayu adalah bahasa rasmi, bahasa kebangsaan
malaysia, termaktub dalam perlembagaan.
hari ini, menjelang ulang tahun kemerdekaan ke-50,
ada poliTIKUS bercakap tentang bahasa malaysia.
bahasa malaysia? tiba-tiba aku jadi seronok untuk bertanya:
apakah ejaan `bengap' atau `bangang' dalam bahasa malaysia?
bagaimana aku harus tulis dalam `bahasa malaysia'
bagi pepatah `tikus membaiki labu'?

Tuesday, July 17, 2007

goblok!

melayu malas membaca tetapi rajin tulis blog. masalahnya, aku malas tulis blog!

Thursday, July 12, 2007

kene sain!

petang hari itu: naj pulang dari sekolah. dia nampak seronok. dia dapat nombor 3. nombor 3 dalam ujian/peperiksaan pertengahan tahun. rakan-rakan sekelas tahu, guru kelas tahu. naj dapat nombor 3. nombor TIGA!
petang hari esoknya: naj pulang dari sekolah. dia tidak seronok. dia dapat nombor 16. nombor 16 dalam ujian/peperiksaan pertengahan tahun. rakan-rakan sekelas tahu, guru kelas tahu. naj dapat nombor 16. nombor ENAMBELAS!
hari esok-esoknya: naj pulang dari sekolah. mama dia pulang dari sekolah. mereka ambil kad laporan. aku tidak ikut. aku tidak mahu tengok. TIDAK MAHU TENGOK!
esoknya: naj mahu pergi sekolah. aku kena sain kad laporan. aku kena tengok. KENA TENGOK!
*aku yang bengang bagaimana keputusan naj daripada nombor tiga tertendang jauh ke nombor enambelas, kena tengok juga kad laporan. `baba kene sain!' kata naj.
- aku tengok kad laporan. naj dapat nombor 4. nombor EMPAT! *pulak!
(naj yang awalnya tersenarai pada tempat ketiga bagaimana boleh tertendang jauh ke nombor enambelas? walaupun kemudiannya kedudukan naj direkodkan pada nombor empat, aku rasa ada yang tidak kena. nasiblah ini ujian/peperiksaan pertengahan tahun sekolah menengah, kalau universiti bagaimana?)
+ aku teringat satu mamat, matjan namanya, kertas bahasa inggerisnya semasa semester di universiti telah direkodkan GAGAL. dan mamat ini ditendang ke sana ke mari ke pejabat pentadbiran universiti dan kementerian pendidikan. dia juga dikenakan RM50 untuk membuktikan bahawa dia dengan hensemnya (baca: bongkak!), LULUS kertas bahasa inggeris.
= seperti mamat tersebut, aku berasa cukup hensem (baca: hensem!) bila naj selain `didudukkan' tempat keempat (asalnya ketiga), dia juga dapat `A' dalam bahasa inggeris.

Saturday, July 7, 2007

melayu buat filem musuh nabi

kenapa orang melayu beragama islam buat filem pasal musuh nabi? kenapa orang putih bukan beragama islam buat filem pasal penyelamat nabi? ashman bertanya subuh tadi. dia baru pulang selepas menyertai perkhemahan hujung minggu murid tahun 5 sekolah kebangsaan taman melawati 2, di upm.
orang melayu buat filem pasal musuh nabi? aku garu kepala.
o, rupanya semasa dikuliahsubuhkan, ashman dan kawan-kawannya disurahkan ustaz yang bermaksud: orang melayu (islam) buat filem `cicak man' dan orang putih (bukan islam?) buat filem `spider man'.
`cicak itu musuh nabi muhammad, cicak buat bising semasa nabi bersembunyi dalam gua hira', cicak beritahu musuh nabi bahawa nabi ada di dalam gua itu. labah-labah (spider) pula penyelamat nabi, labah-labah buat sarang di pintu gua hira', musuh nabi tertipu kerana sarang labah-labah itu dan nabi selamat daripada musuh yang mahu membunuhnya'.
*demikian ashman disurahkan, tiada yang tidak benar, melainkan benar belaka!
*kecil-kecil dulu aku dan kawan-kawan guna getah bulat dijalin-pintal sebesar jari telunjuk, menyelinap setiap ceruk rumah, mencari-melastik cicak pada setiap jumaat, dengan sengaja dan dengan seronoknya kerana (dapat pahala, kata ustaz).

`overtime dan pendunhill tegar'

ada satu mamat. pendunhill tegar kotak 20 batang. setiap hari `tekun' di opis.
hingga lewat malam (disyaki untuk klaim`overtime' satu jam RM8).
satu jam overtime dibayar RM8. dunhill kotak 20 batang RM8.20.
kalau mamat ini `berovertime' satu jam (pun dah cukup) dan pada masa yang sama
dalam poket seluarnya ada 20 sen (tolak tambang lrt) maka masalahnya sebagai pendunhill tegar kotak 20 batang, selesai.
*kalau dalam satu hari dia dengan gembiranya `berovertime' 4-5 jam sekali lalu, maka dia
akan bertambah kaya sebagai pendunhill tegar!

Thursday, July 5, 2007

sampah dan beras

kat selangor, harga sampah 10 sen sekilo. seluruh tanah melayu, harga beras sekilo naik 10 sen.
* hendak tampung harga beras, jual sampah. jual sampah, beli beras, fuh!

gengster-kwsp

ada syarikat perladangan. guna gengster. rampas tanah orang kampung.
di dalamnya, 7.6 peratus saham `ditabur' kwsp. kwsp guna duit aku.
guna duit aku, bayar gengster? la la la!

sampah

ada kerja kosong. kutip sampah. jual kat khir toyo. satu kilogram 10 sen.
atau bikin bisnis jual beli sampah. beli sampah kering. jual sampah lembap.
*siram air dua/tiga malam (berat bila timbang)

Monday, July 2, 2007

`najib razak'

ada kerja kosong. kat mongolia. pergilah. cari gambar `najib razak' dengan altantuya.
*ingat: `najib razak' bukan najib razak. ulang: `najib razak'. ada tanda kutip (`').

aku tak rajin!

melayu malas membaca tetapi rajin tulis blog, kata naga. masalahnya aku malas tulis blog!