Monday, November 7, 2011

Antimanusia

JAUHI otak anda daripada pemikiran antimanusia.

Saturday, November 5, 2011

Kata Tuhan

`JIKA hamba-Ku berkorban untuk-Ku,
nescaya Aku akan kayakan hati mereka
dan penuhkan tangan mereka dengan rezeki'.

*Salam Aidiladha, maaf zahir bathin

Friday, November 4, 2011

Hello Putrajaya, anak siapakah ini

BERDOALAH agar anak-anak kita, anak-anak saudara-saudara kita, anak-anak sahabar-sahabat kita, anak-anak jiran-jiran kita dijauhi Tuhan daripada perilaku seperti ini: Dua budak pecah 26 rumah
 jiran.

Latar:
2 budak pecah 26 rumah jiran

Thursday, October 13, 2011

Menjelang PRU13

GUA sedia jadi pencacai UMNO, Pas, DAP, PKR, Gerakan, MCA atau MIC malah KITA, selagi lu orang tidak kincing gua untuk kasi gua sen dan gua dapat sen halal untuk gua beli beras. Baca: Gua berani! (keh keh keh!)

Wednesday, October 12, 2011

Nota hari minggu buat kawan-kawan Utusan

KAWAN-KAWAN Utusan yang dikasihi, membaca berita ini -Utusan buat laporan polis ke atas Namewee- gua tiba-tiba terfikir begini: Apabila kita mengutuk orang, orang juga berhak membalas kutukan kita. Tetapi apabila kita membalas semula kutukan itu, kenapa membabitkan polis? Membuat laporan polis memperlihatkan betapa daifnya kita, betapa tidak jantan dan tidak betiknanya kita. Kawan-kawan Utusan yang dikasihi: Melayan kerenah remaja sekreatif dan segila Namewee (seperti diakui PM Najib) dengan membabitkan polis, tidakkah kita berasa terkemaluan?

Latar:
Utusan buat laporan polis ke atas Namewee

Tuesday, October 11, 2011

Apabila Dr Mahathir bercakap tentang ...

APABILA Dr Mahathir bercakap tentang `filem hantu racuni minda, cerita tahyul punca histeria', apakah Lembaga Penapis Filem Malaysia dan menteri jaga agama akan turut histeria?

Latar:
Mahathir: Filem hantu racuni minda, cerita tahyul punca 

Tuesday, October 4, 2011

Sungguh tidak best jadi hipokrit!

SELEPAS Namewee letih dibelasah dan dikutuk,
(kalau boleh) terus asak tersadai sampai ke dinding,
apa kata lu orang cari dan titik Najib bin Abdul Razak?
* Tiba-tiba gua terfikir: Sungguh tidak best jadi hipokrit!

Latar
*:Najib: Namewee penyokong kuat 1 Malaysia

Wednesday, September 28, 2011

Politikus yang hodoh

POLITIKUS yang hodoh kerana ketiadaan isu akan dilihat cerdik mengitar semula apa sahaja. Baca: Selepas Mat Indera, komunis
dan kemerdekaan, hudud dikitar menjadi isu paling terkini.

Monday, September 26, 2011

`Saya mahu ke sekolah'

`SAYA mahu ke sekolah'. Membaca tajuk dokumentari ini sudah tergambar dalam kepala, dokumentari ini tentulah berkisah tentang keinginan anak-anak (miskin, terbiar dan tidak bersekolah?) untuk bersekolah, berpakaian seragam, punya buku untuk dibaca, punya pensil untuk menulis, punya sekotak pensil warna, punya sepasang kasut yang berkapur. Lalu, apa kejadahnya dokumentari tersebut dilarang siar di TV? Kecualilah kalau ada pihak yang terkena batang hidung sendiri!

Latar:
*Misteri larangan siar 'Siasat' edisi Cina ntv7

Wednesday, September 14, 2011

Malam itu di Gua Hira'

Catatan malam 17 Ramadhan:
SATU suara menyuruh Muhammad membaca: `Iqra' bismirabbikalladzi kholaq; Kholaqal insana min 'alaq; Iqra' wa Rabbukal akram; Alladzi 'alamma bil qalam; 'Allamal insana man lam ya'lam'.
Muhammad yang buta huruf menggigil ketakutan pulang ke rumah menemui Khadijah, isterinya: `Selimuti aku! Selimuti aku!'
Kisah seterusnya, akan Pendita Yahudi itu mengakui: Muhammad (s.a.w) pembawa pencerahan kepada seluruh makhluk manusia di bawah matahari. Bacalah.

Wednesday, August 24, 2011

Somalia kebuluran, sapa peduli?

1. Catatan sewaktu sahur 16 Ramadhan:
TIDAK adakah NGO kemanusiaan mahu beramal jariah menghantar bertan-tan bahan makanan ke Somalia seperti mereka membawa bertan-tan bantuan kepada Palestin sampai diperambat Israel? Kalau diukur guna pembaris, jarak Malaysia ke Somalia dalam peta dunia ternyata lebih dekat. Tetapi, seperti kata sahabat gua, editor kanan akhbar: Somalia kebuluran, sapa peduli?

2. Catatan menjelang azan Maghrib 15 Ramadhan:
SOMALIA kebuluran ... .

*Ketika catatan ini gua update di status  facebook pada 15 dan16 Ramadhan, tabung kemanusiaan Somalia belum dilancarkan (dan ia dilancarkan 2-3 hari selepas itu).

Monday, August 15, 2011

Tidak perlu jadi menteri ...

JIKA anda rajin memerhati, anda akan nampak ada NGO yang aktif memberi makan kepada gelandangan di sekitar Kuala Lumpur. Malah ada individu yang prihatin membantu gelandangan yang tidak diketahui akan asal-usul ini (dan dengan sombongnya gua mengaku pernah turut membantu). Anda tidak perlu menjadi menteri untuk kemudian diambil gambar dan disiar dalam akhbar di bulan Ramadhan dan bercakap tentang hal yang masih `cadangan'!

Tuesday, August 2, 2011

Perihal `anak Datuk', banduan dan guru disiplin

OTAK lutut gua terfikir akan berita ini:
Kenapa berita `Anak Datuk ditahan cuba seludup manusia', identiti `anak Datuk' tersebut dilindung? Kenapa berita `Banduan menyamar polis dicekup', muka/identiti banduan itu tidak didedah? Kenapa berita `Guru didakwa cabul 11 pelajar' (`didakwa' belum terbukti bersalah), muka/identiti guru disiplin yang `didakwa' itu  disebar luas dalam akhbar?
Sama ada guru disiplin tersebut melakukan atau tidak seperti yang `didakwa', gua sangat simpati dengannya yang  tentu berasa diaibkan sebelum didapati bersalah.
Gua boleh cuba dan terpaksa untuk faham jika ada arahan `anak Datuk' yang ditahan kerana cuba seludup manusia (baca: cuba seludup manusia) dilindungi identitinya tetapi gua tidak faham kenapa `banduan' yang menyamar dilindungi muka/identitinya manakala guru yang belum didapati bersalah, diaibkan!


Saturday, July 30, 2011

Surat kecil kepada TPM menjelang Ramadhan

TUAN Timbalan Perdana Menteri, tuan tidak perlu `kaji langkah baru', akan tetapi tanganilah segera harga barangan seperti betapa segeranya tuan umum peruntukan RM100,000 kepada setiap Ahli Parlimen Barisan Nasional yang dijangka `disalurkan sebelum sambutan Aidilfitri'.
Tuan TPM, ketahuilah: Setiap kali disurahkan tentang `subsidi dan bebanan rakyat', setiap kali itulah rakan saya mengira sen terakhir untuk harga susu anak-anaknya.
Terima kasih.
-Pyanhabib Rahman

Saturday, July 16, 2011

Apa sumbangan anda untuk negara?

APA sumbangan anda untuk negara? Gua? Bayar cukaiiiiiii! Cukai tanah, cukai api, cukai air, cukai angin, cukai jalan, cukai lesen, cukai tol, cukai itu cukai ini, cukai mamak malah cukai untuk kencing di KLCC! Bayangkan pelan-pelan, tutup mata, heningkan kepala, akan ternampak pelbagai cukai yang lu orang kena bayar sampai mati!

Tuesday, July 12, 2011

Jangan murtadkan diri sendiri ...

BERSIH didokong rakyat berbilang kaum tanpa peduli warna kulit, jantina, anutan politik atau kepercayaan beragama seseorang, itu yang gua tahu.
Malaysia negara berperlembagaan, berukun negara, itu yang gua diajar sejak sekolah rendah.
Perlembagaan Malaysia akui setiap rakyat memiliki hak bersuara, tidak kira lu orang jenis penyokong kerajaan atau pembangkang tegar, itu yang gua faham sejak gua rasa gua hensem.
Apabila orang kaitkan itu India pemimpin Bersih penganut Hindu (?) dengan kes murtad (penganut Islam), gua tiba-tiba ketagih bertanya macam sial: Lelaki beragama Islam yang akil baligh yang tahu mandi junub tinggalkan solat Jumaat tiga kali berturut-turut, berminggu berturut-turut, berbulan berturut-turut, bertahun berturut-turut dengan sengaja, apa hukumnya?
Gua jahiliah pasal agama tetapi gua masih mahu berfikir dengan otak di kepala, otak yang dianugerahkan tuhan Allah, maka inilah yang gua terfikir:: Janganlah kerana Bersih (sama ada `bersih' atau disiniskan `kotor'), kita babitkan agama, janganlah kita memurtadkan diri sendiri ... Sekian.

Tuesday, June 14, 2011

Perihal berhemah, menghasut dan perangkap

PADA 13 Mei lalu, gua kutip kata-kata ini: `Kami hanya mahu ruang sendiri bagi mengamalkan agama kami, itu sahaja. Setiap orang mahu kebebasan beragama untuk menyembah Tuhan mereka.' Kata-kata tersebut dicetuskan Bishop Ng Moon Hing dari Persekutuan Kristian Malaysia. Bila gua catat kata-kata itu sebagai berhemah, ada makhluk hasut gua: `ada perangkap di sebalik kata-kata itu,' katanya. Kisah berlalu.
Dan, apabila bekas Perdana Menteri Britain, Tony Blair yang dikhabarkan menganut Katolik bercakap -tentulah dengan berhemah- tentang al-Quran lantas memuji `Islam sebagai agama `indah' dan Nabi Muhammad sebagai tokoh membawa `kekuatan sangat bertamadun', apa pula yang hendak dihasutkan kepada gua? Hasutkan supaya gua percaya kata-kata Tony Blair yang setiap hari diberitakan membaca al-Quran itu, perangkap?



Tuesday, May 24, 2011

Berkata Hishammuddin ... .

KETIKA ditanya (wartawan) sama ada Ibrahim (Ali), bekas ahli UMNO, dilihat sebagai ahli politik berpengaruh, Hishammuddin (Hussein) yang juga Naib Presiden UMNO berkata, wakil rakyat (Bebas @ Presiden Perkasa) itu hanya dianggap berpengaruh jika `anda semua' menjadikannya berpengaruh.' (Siapakah `anda semua' yang menjadikan Ibrahim Ali berpengaruh seperti kata Hishammuddin?)

Monday, May 23, 2011

Bukan ... .

GUA bukan UMNO bukan Pas bukan DAP bukan PKR, apatah lagi MCA atau MIC! Selain cari duit untuk beli beras, kemudian tengok orang-orang politik berkelahi, gua tidak ada kepentingan apa pun dengan jenama parti yang tersebut.

Thursday, May 19, 2011

... hanya mahu ruang

``KAMI hanya mahu ruang sendiri bagi mengamalkan agama kami, itu sahaja. Setiap orang mahu kebebasan beragama untuk menyembah Tuhan mereka.'' - Bishop Ng Moon Hing, Persekutuan Kristian Malaysia (CFM).
* Ketika isu Negara Kristian dimainkan, gua memetik kata-kata bishop tersebut tanpa buruk sangka.

Sunday, May 15, 2011

Sisa radioaktif: 80 ribu tong sisa belum ditanam

`80 ribu tong sisa thorium belum ditanam!' jerit merdekaview.com.
Berita sebesar ini tidak `besar' pada akhbar arus perdana?
-Pedulilah. Rakyat hanya `barang perlu' menjelang pilihan raya!

Saturday, May 14, 2011

Pejuang dan politikus

PEJUANG kemerdekaan, bergolok gadai segala harta.
(Punya hutang keliling pinggang, tidak tertanggung sampai mati).
Politikus kemerdekaan, hidup mewah dan kaya raya.
(Punya banglo empat tingkat, sekali terbakar keluar surat khabar).

Wednesday, May 11, 2011

Wajah yang jernih ... .

AZMIL Mustapha dan dR SAM (Rasputin) adalah dua sahabat gua yang terlibat sepenuh masa dalam bidang agama sejak berpuluh tahun lalu. Sesekali apabila terserempak, wajah mereka yang jernih sentiasa tersenyum manis. Sejak tahun 80-an sehingga kini, dR SAM masih `lu-gua' dengan gua. Gua tahu mereka `berilmu tinggi' namun mereka sangat berhemah dan sentiasa merendah diri ... .

Tuesday, May 10, 2011

Soalan & jawapan hari minggu

+ LU tidak sakit otak baca tajuk berita hari ini?
= Sakit. Tetapi hari minggu gua malas pakai otak!

Sunday, May 8, 2011

`Restoran mamak'

DIKENALI sebagai `restoran mamak' tetapi penuh muka Melayu.
Mana perginya mamak-mamak dan anak-anak mamak? Mana lokasi mamak-mamak tarik teh dan bersidai? Kenapa tidak ada `restoran Melayu' yang penuh muka mamak-mamak?

Saturday, May 7, 2011

Loji radioaktif: Malaysia terbaik di dunia!

SYARIKAT perlombongan Lynas mahu humban sisa radioaktif (disedapkan dengan istilah `pusat pemprosesan nadir bumi') ke Malaysia dan mereka tidak melupuskannya di negara mereka sendiri (Australia) meskipun telah mendapat kelulusan. `Ternampak' dua alasan selamba mereka memperbodohkan Malaysia (dan rakyatnya): 1. Malaysia `tempat terbaik di dunia'.
2. ... `paling utama adalah rakyatnya'.

Friday, May 6, 2011

Pembunuhan Osama

MEMBACA kecaman terhadap Amerika oleh beberapa pemimpin Eropah dan Barat yang bukan beragama Islam, gua terfikir betapa wujud pemimpin Malaysia beragama Islam yang lebih suka Osama mamposss!

Thursday, May 5, 2011

Harga petrol naik lagi!

BIARLAH harganya dinaikkan, jangan marah-marah. Kita rakyat Mesia, dibuli seteruk manapun, semua ok! (sebelum otak sakit dibuli kapitalis petrol negara sendiri, gua rela dibuli Shell, Esso, Caltex. Biar nampak internasional!)

Wednesday, May 4, 2011

Video lucah: Takut mati?

GUNA al-Quran bersumpah laknat. Bersumpah laknat dalam masjid. Dalam masjid pakai baju kalis peluru. Pakai baju kali peluru kerana takut mati? Tidak percayakah Allah Maha Pelindung yang menghidup dan mematikan? Ceh, gua tidak terfikir langsung dalam rumah Allah ada makhluk berjaket kalis peluru kerana takut mati!

Tuesday, May 3, 2011

O-my-god!

PADA waktu O-BA-MA dengan angkuhnya memberitahu dunia bahawa pembunuhan O-SA-MA `atas arahan saya', gua teringat akan jam tangan berjenama O-ME-GA!

Wednesday, April 20, 2011

Anak muda dipromosikan politik kebencian

APABILA anak muda dipromosikan politik kebencian, dibodohkan berita-berita lucah, rasuah dan propraganda yang menyakitkan hati maka tidak salah jika tumbuh keinginan mereka untuk berasa betapa bangsatnya membaca akhbar secara terbalik. (Mereka berkumpul, membaca akhbar terbalik sekarang - pukul 4 petang- di Masjid Jamek, KL dan seluruh negara) - Catatan facebook, 16 April 2011, Sabtu.



Video lucah: Jangan cemari Kaabah yang mulia

NABI Ibrahim dibantu anaknya, Ismail bina Kaabah dengan tujuan yang sangat mulia, menyatupadukan umah beribadah kepada Allah. Timbul pertanyaan dari tempurung kepala lutut gua, wajarkah Kaabah dicemarkan sebagai tempat bersumpah laknat perihal video lucah? Pada gua yang jahiliah pasal agama, standard tiga Melayu penayang-pengedar-pemilik video lucah untuk bersumpah laknat, tempatnya Carcosa Seri Negara (baca: SERI NEGARA). Kalau tiga Melayu ini berasa tidak hina membabitkan Kaabah dengan video lucah, gua sokong dia orang bersumpah laknat di tempat yang mulia ini, segera lakukan tanpa alasan!

Monday, April 18, 2011

Video lucah: Selepas pilihan raya Sarawak

SEBELUM pilihan raya Sarawak, otak seluruh rakyat Malaysia dipaksa mempercayai bahawa `pelaku' sebenar video lucah itu `dikenal pasti' melalui jam tangan Omega. Sehari (baca: SEHARI) selepas pilihan raya Sarawak tiba-tiba seluruh rakyat Malaysia yang bijak bestari diperbodoh: `harus mengesan siapa pemiliknya' jam tangan Omega itu. Seterusnya, si pelaku kesalahan Seksyen 292 Kanun Keseksaan kerana menayang dan mengedar video lucah mengalami tahap kecut telur. `Saya tidak mahu terlibat,' katanya!

Monday, March 14, 2011

nota BESAR kepada yang dipertua dewan rakyat

TUAN Yang Dipertua Dewan Rakyat, bersempena dengan persidangan Parlimen yang berlangsung, saya mohon Tuan memberi kesempatan kepada Yang Berhormat Sri Gading, Mohamed Aziz memperlihatkan keberaniannya membawakan usul di Dewan supaya Mior Kamarul Shahib selaku Ketua Pengarang Kumpulan Berita Harian yang mengaku terlepas pandang akan lakaran kartun tsunami oleh Zoy, dihumban ke laut seperti mana beliau (Sri Gading) dalam satu sesi Parlimen pada tahun 2005,  pernah mengusulkan di Dewan yang mulia tersebut supaya penyanyi Hattan dihukum, dihumban ke laut kerana nyanyikan lagu Negaraku yang kononnya tidak mengikut versi sebenar. Tuan Yang Dipertua, lakaran kartun tsunami yang disiar dalam Berita Minggu itu juga melibatkan maruah negara, maka itu, wajarlah Yang Berhormat Sri Gading berilah peluang memperlihatkan kepatriotikannya!
Sekian, terima kasih.

Tuesday, March 8, 2011

Interlok: Pariah

NIAT penulis Interlok tersangat mulia tetapi golongan pencetus isu `pariah' yang membakar novel Interlok (dan gambar penulisnya) adalah golongan yang tidak berhati mulia!

Friday, March 4, 2011

Perihal pilihan raya

RAKYAT adalah mangsa yang dihasut bersubahat
mempercayai apa yang dihambur para pencacai
adalah benar walaupun ia dipenuhi kesumat dendam!

Tuesday, January 11, 2011

yang dibaca dan yang dibakar

Di SAAT  satu pihak mempertikaikan kehadiran novel Interlok karya Sasterawan Negara Abdullah Hussein sebagai teks sastera di sekolah menengah, sambil tanpa disedari telah `mempariahkan' diri sendiri dengan tindakan `rasis' iaitu membakar novel tersebut (juga gambar penulisnya), tulisan Tukar Tiub bertajuk `Yang Dibaca dan Yang Dibakar' sepatutnya dibaca dengan otak cerdik.
(baca: tidak ada sarjana atau profesor atau ilmuan sastera atau menteri budaya atau golongan yang mempariahkan diri sendiri itu -jika ada- menulis secerdik Tukar Tiub)
-Pyanhabib.

Selasa, 2011 Januari 11

KESEDARAN DAN SENSIBILITI

YANG DI BACA DAN YANG DI BAKAR

Bila saya membaca berita tentang pembakaran buku Interlok saya tidak terperanjat. Novel Interlok garapan Abdullah Hussain ini telah menjadi berita kerana dikatakan ada unsur rasis dan penghinaan terhadap orang India.

Sebenarnya membakar buku di Malaysia ini bukan satu yang baru. Pertama kali - saya terbaca berita membakar buku ini ketika saya di sekolah menengah pada tahun 1970 dahulu. Buku: 13 Mei Sebelum dan Sesudah telah di bakar di Sudut Pidato di hadapan perpustakaan Universiti Malaya. Saya tidak pasti apakah ini kerja Persatuan Bahasa Melayu Universiti Malaya atau pun kerja Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya.

Buku 13 Mei Sebelum dan Sesudah ini adalah garapan Tunku Abdual Rahman yang pada ketika itu menjawat Perdana Menteri Malaysia. Buku ini dibakar kerana ketika itu anak-anak mahasiswa amat marah terhadap Tunku. Tunku dibenci kerana dikatakan telah mengadaikan kepentingan Melayu dan menjual negara ini kepada towkay China.

Agak ironis, tidakan mahasiswa di Universiti Malaya ini kerana pada 10 Mei 1933 anak anak mahasiswa German juga telah membakar 25,000 buah buku. Angka 25,000 adalah judul buku yang dianggap tidak ‘bersemangat German’. Ini dizaman Hitler berkempen untuk membakar semangat Aryan yang berkulit putih, bermata biru dan berambut merah dan meluaskan pengaruh politik Nazi.

Interlok dikatakan ada menggunakan perkataan ‘pariah’ yang dianggap rasis oleh orang India. Ada juga ayat-ayat lain yang tidak disenangi oleh orang India. Apakah perkataan pariah dalam Interlok ini rasis atau tidak bukan ini yang ingin saya garap. Disini saya ingin membuka ke satu kain rentang yang lebih luas. Saya ingin membuka pensejarahan kata, makna dan tanda dalam pembudayaan negara bangsa.

Umum harus disedarkan bahawa bunyi kata-kata yang keluar dari mulut kita ini tidak memiliki apa-apa makna. Makna yang kita kahwinkan dengan bunyi itu didatangkan kemudian.

Misalnya bunyi - ke-la-pa – bunyi ini tidak memiliki apa-apa makna kepada orang Sweden. Tetapi ianya memiliki makna untuk orang Malaysia. Makna ini lahir dari alam persekitaran dalam sesuatu budaya bangsa bukan dari bunyi perkataan itu. Kewujudan pokok yang tinggi menjulai ini melahirkan perkatan ke-la-pa. Benda-benda yang wujud di dalam alam inilah yang melahirkan perkataan. Perkataan ini diberi oleh budaya persekitaran.

Mari kita lihat perkataan ‘keling’ yang pada satu ketika dahulu ada tuntutan di mahkamah agar perkataan ini dilupuskan dari Kamus Dewan. Untuk saya, Mamat yang menuntut penglupusan perkataan ini tidak memahami sejarah perkembangan tamadun manusia. Pasti Mamat ini tidak ada keupyaan untuk membaca 25,000 judul buku German, jauh sekali membaca kitab Salalatus Salatin – Sejarah Melayu.

Sila baca kitab Sejarah Melayu ini dan lihat bagaimana perkatan keling itu telah digunakan tanpa memiliki unsur-unsur prasangka, penghinaan atau sikap rasisma. Perkataan keling muncul apabila adanya mahkluk yang bukan Orang Melaka datang dari negara atas angin. Lalu makluk ini di beri nama Keling kerana mereka pendatang baru yang dikatakan rakyat Raja Kalinga.

Bunyi, makna dan tanda disini bukan ilmih yang berasakan ilmu alam. Ini tidak penting. Lihat bagaimana hingga sekarang manusia Melayu mengunakan perkataan Bengali sebagai kata nama untuk manusia dari wilayah Punjab walhal Bengali seharusnya kata nama untuk warga dari wilayah Bengal.

Lihat perkataan ini diterima masuk ke dalam budaya Melayu tanpa prasangka atau niat jahat. Malah ada beribu-ribu perkataan Sanskrit yang telah memperkayakan perbendaharan kata dan pengucapan manusia Melayu.

‘ Maka Baginda pun perkenan memberi persalinan sepasangan baju China dan sepasang baju Keling. Maka apabila Anakanda memakai baju China maka rupa Chinalah dianya. Apabila Anakanda memakai baju Keling maka rupa Kelinglah dianya…’

Diatas adalah ayat dalam buku Salalatus Salantin yang ditulis 600 tahun dahulu. Satu ketika yang bagitu lama dahulu dimana konsep prasangka, rasisma dan perkauman ini belum wujud dalam sensibiliti manusia Melayu. Enam ratus tahun dahulu belum wujud perebutan ekonomi yang meruncing. Enam ratus tahun dahulu belum wujud Hindraf atau saham Talikom untuk Maika. Enam ratus tahun dahulu Kugan dan Francis belum lagi ditemui mati dalam rumah pasong.

Malah sensibiliti terhadap perkataan keling atau pariah ini datang kemudian ke dalam budaya Melayu. Ianya datang bersama sikap rasisma yang dibawa oleh kolonial British ketika menjajah Tanah Melayu ini. Kolonialisma memerlukan satu idealogy untuk menghalalkan penghisapan tenaga buruh anak-anak tanah jajahan.

Justeru mereka yang dijajah wajib dilihat lebih rendah dari tuan penjajah. Yang perlu dijadikan kuli oleh British diladang getah di Tanah Melayu ialah warga pariah kerana mereka adalah warga dari kasta yang terendah dalam budaya Hindu. Yang menjadi mandor dari kasta yang lain. Yang menjadi manager juga dari kasta yang lain. Ini adalah cara penjajah menjajah.

Amat jelas perkatan tanda dan makna pariah ini bukan diwujudkan oleh manusia Melayu. Pariah ini lahir dari sistem kasta Hindu itu sendiri. Manusia Melayu tidak memilki nilai penghinaan apabila bertembung untuk kali pertama dengan perkatan ini. Malah yang membawa masuk ke Tanah Melayu nilai penghinan terhadap perkataan -pariah - ini ialah orang-orang dari India itu sendiri yang kini tinggal di Malaysia tetapi dengan bangganya masih lagi mengamal sistem kasta.

Jangan silap faham disini. Apa yang saya tulis ini bukan untuk menunjukkan bahawa manusia Melayu ini suci dan tidak memiliki prasangka atau sifat benci terhadap orang luar. Sikap benci terhadap ‘orang lain’ ini bukan hanya dimonopoli oleh Hitler atau kaum Zionis atau kuam penjajah. Ianya wujud dan dimiliki oleh semua budaya bangsa. Yang ingin saya paparkan ialah bagaimana perkataan melahirkan konsep, tanda dan makna. Dan bagaimana budaya membudayakan perkataan itu.

Justeru adalah tidak adil untuk menilai novel Interlok dengan sensibiliti hari ini. Ini samalah juga seperti tidak masuk akalnya untuk kita mengubah kitab Salalatus Salatin kerana ada menggunakan perkataan keling. Atau kita wajib menggantikan nama Tanjung Keling kerana adanya perkataaan keling pada Tanjung ini.

Biar saya bawa keluar, ke dunia sastera yang penulisan di Amerika Syarikat. Mark Twain (1835 – 1910) adalah penulis yang telah dinobatkan sebagai penulis agung untuk budaya negara bangsa Amerika. Buku Adventures of Huckleberry Finn adalah kitab wajib untuk seluruh warga Amerika.

Buku Adventures of Huckleberry Finn ini ditulis pada tahun 1885 - seratus enam puluh lima tahun dahulu. Didalam buku ini ada menggunakan perkataan ‘nigger’. Pada tahun-tahun 60’an lahirnya pejuangan Hak Asasi Manusia di Amerika Syarikat. Maka lahir satu kesedaran dan sensibiliti baru dimana warga berkulit hitam marah kalau dipanggil nigger. Perkatan ini dianggap rasis.

Ketika itu orang berkulit hitam di Amerika tidak marah kalau di panggil negro. Negro ini adalah hitam dalam bahasa Sepanyol seperti aswad dalam bahasa Arab. Kemudian lahir sensibiliti baru dimana perkataaan negro ini juga dilawan dan ditentang. Orang hitam di Amerika Syarikat hari ini mahu mereka dipanggil African America.

Lihat bagaimana berlaku perubahan dan sensibiliti. Ada juga Kepala-kepala Angin yang tidak faham tentang sastera dan budaya telah mengkritik buku Mark Twain. Kepala Angin di Amerika agak cerah sedikit kerana mereka tahu sadikit sebanyak tentang sejarah dan makna upacara bakar membakar buku ini. Mereka tidak ingin diasosiasi dengan cucu cicit Hitler. Hingga ke hari ini buku Mark Twain ini adalah buku wajib untuk sesiapa sahaja yang ingin mengetahui budaya dan sastera Amerika.

Biar saya bawa ke zaman Baitul Hikmah - di zaman pemerintahan Khalifah Harun Aminul Rasheed ( 763-809) dan dizaman anaknya Al-Makmum (813-833). Ini adalah zaman kegemilangan perkembangan ilmu pengetahun di negara Arab yang berpusat di Baghdad. Di zaman ini buku falsafah dari Greek telah diterjemah ke dalam bahasa Arab oleh para ilmuan Arab.

Al-Farabi dan Ibu Sina dua ahli falsafah Arab/Islam bukan sahaja menterjemahkan buku-buku Aristotle malah memberi makna dan pengertian baru. Dalam sejarah falafah kuno dan moden Al-farabi amat penting sekali sehinggakan dinamakan Aristotle Kedua. Tanpa ahli-ali falsafah di Baitul Hikamh ini tidak akan terbuka zaman Pencerahan di Eropah.

Ini tidak bermakna buku dan falsafah mereka yang mengajukan rasionalisma tidak ada yang menentang. Al-Ghazali (1058–1111) yang datang kemudian telah menentang pandangan dan falsafah Al-farabi dan Ibnu Sinna. Tetapi bukan dengan membakar buku-buku yang terawal. Apa yang dilakukkan oleh Al-Ghazali ialah menulis buku Tahafut-al-falasifa untuk menjawab buku-buku Al-Farabi dan Ibu Sinna. Dengan ini memperkayakan debat keilmuan hingga ke hari ini.

Membakar buku untuk menunjukan tentangkan adalah senang. Buku Salman Rushdi di bakar. Buku Tunku di bakar dan kini buku Andullah Hussain pula dibakar. Nyatalah sosok-sosk yang suka membakar buku-buku ini tidak memiliki nilai ilmu pengetahuan dan tidak tahu apa yang seharusnya dilakukan kepada buku. Justeru mereka membakar buku.

Tidak dapat dinafikan bahawa ramai orang India di Malaysia ini merasa diri mereka di tindas. Peratus orang India dalam penjara tinggi berbanding dengan jumlah penduduk. Ramai anak-anak muda India mati di bunuh mata-mata di pelbagai rumah pasong. Ramai orang India tidak memiliki kad pengenalan dan hidup merempat.

Penindasan terhadap orang India ini dilakukan oleh kerajaan yang berpandukan falsafah Ketuanan Melayu. Semua ini betul dan saheh. Tetapi jawapan untuk membebaskan diri dari penindasan ini bukan dengan melupuskan perkataan keling atau menghapuskan konsep pariah. Ianya memerlukan lebih dari itu.

Untuk membebaskan diri tangga awal wahid ialah membaca. Melalui pembacaan buku-buku berkemungkinan dapat digarap satu pemikiran yang akan membawa harapan dan pembebasan. Membakar buku tidak mendatangkan apa-apa faedah malah mencemarkan udara. Amat ironis, si pembakar buku tidak mungkin akan akan dilihat berkulit puteh, bermata biru dan berambut merah walau pun membakar Intelok sebagai satu kempen politik untuk membakar semangat kaumnya.(TT)